Monday, 12 March 2012

PROGRAM NILAM #4

GANJARAN

Apabila aktiviti galakan membaca diberi pengiktirafan dan dipiawaikan melalui NILAM, masyarakat akan dimaklumi tentang klasifikasi pengiktirafan ini. Penganugerahan ini akan menjadi satu aset dan pemangkin budaya suka membaca.

Antara ganjaran yang diperolehi murid adalah:

  1. Skor markah rekod bacaan murid akan dimasukkan ke dalam Buku Rekod Kemajuan Murid pada setiap akhir tahun.
  2. Markah Rekod bacaan ini dikira dari jangkamasa 6 tahun persekolahan peringkat Rendah dan 5 tahun persekolahan peringkat Menengah.
  3. Markah Rekod Bacaan ini akan dimasukkan ke dalam Sijil Berhenti apabila pelajar menamatkan persekolahannya.
  4. Pihak sekolah juga wajar memberikan surat sokongan kepada pelajar yang layak menerimanya.
  5. Pelajar yang telah mencapai rekod bacaan tertinggi di peringkat kebangsaan akan diberi Anugerah Nilam.

CADANGAN MASA PERLAKSANAAN NILAM

  • Satu masa membaca di perpustakaan dimuatkan dalam jadual kelas matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  • Ada juga waktu yang diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti-aktiviti untuk Minggu Pusat Sumber .
  • gu Pusat Sumber, pelbagai aktiviti boleh dijalankan; seperti Bercerita, Pertandingan Menulis Ulasan Buku, / Berbicara tentang buku yang dibaca (misalnya dalam satu ‘workshop’) / Forum tentang sesuatu buku
  • Pelajar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti membuat ulasan buku atau membaca bersama.

FAKTOR-FAKTOR PELAKSANAAN YANG PERLU DIBERI PENEKANAN :

  • Penyediaan koleksi bahan-bahan bacaan pusat sumber. Penyelaras pusat sumber perlu memastikan koleksi bahan di pusat sumber mereka sentiasa selaras dengan perkembangan semasa agar ia dapat menarik minat pelajar untuk sering mengunjungi Pusat Sumber.
  • Sokongan pihak pentadbir sekolah. Aktiviti-aktiviti pembacaan tidak akan dapat berjalan dengan lancar sekiranya pihak pentadbir kurang memberi sokongan dalam menjalankan sebarang aktiviti pusat sumber. Ini termasuklah menyediakan masa dan hari yang sesuai serta bantuan kewangan untuk menjalankan program ini.
  • Penglibatan ibubapa dan guru-guru. Aktiviti membaca akan menjadi lebih aktif dan berkesan sekiranya ibubapa memberi sokongan membaca semenjak dari kecil kepada pelajar. Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam menekankan bacaan murid di sekolah contohnya memuatkan aktiviti-aktiviti bacaan seumpama ‘Teka-Silangkata’ dan latihan menulis ulasan buku dalam pengajaran mereka.
  • Perlaksanaan program secara sistematik disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan Anugerah NILAM.

PROGRAM BACAAN NILAM #3

TAHAP RAKAN PEMBACA

CIRI-CIRI RAKAN PEMBACA :

  • Adalah murid-murid yang sudah membaca lebih dari 100 buah buku dan mereka layak dipilih ke tahap ini.
  • Murid-murid pada tahap Rakan Pembaca akan dibimbing oleh guru atau fasilitator untuk turut serta di tempat-tempat aktiviti dan membantu membuat pengesanan kemajuan aktiviti yang dijalankan murid secara formal atau tidak formal.
  • Murid-murid yang dipilih sebagai Rakan Pembaca akan dilatih melalui bengkel dan sesi tunjuk cara yang dirancang untuk menjayakan aktiviti ini. Mereka akan memilih dan meminjam buku dari pusat sumber sekolah untuk dibawa pulang. Buku-buku yang dipinjam akan juga dibaca oleh rakan-rakan, keluarga dan jiran. Kemudian, pembaca tersebut perlu menandatangani dan membuat sedikit ulasan di dalam buku rekod Rakan Pembaca.
  • Murid juga dilatih untuk menjalankan aktiviti pembacaan bersama rakan-rakan di sekolah seperti : aktiviti bercerita, membaca bersama dan bicara buku. Aktiviti yang mereka jalankan akan diberi skor pemarkahan mengikut berapa sesi aktiviti dikali dengan berapa ramai pendengar, pembaca dan peminjam buku mereka.
Pelajar pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP:

MARKAH PENGIKTIRAFAN

100-199 Gangsa
200-299 Perak
300-399 Emas
400 ke atas NILAM2

PROGRAM BACAAN NILAM #2

OBJEKTIF

  1. Menggalakkan pelajar memupukkan budaya suka membaca berterusan sepanjang hayat mereka.
  2. Menjadikan murid banyak membaca, bukan sahaja pembacaan yang berorientasikan peperiksaan.
  3. Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini.

CIRI-CIRI PERLAKSANAAN NILAM

  • Rekod Bacaan
  • Suatu rekod bacaan setiap pelajar disediakan sebagai dokumen pembacaan mereka. Pengisian rekod melatih pelajar contohnya : mengingati pengarang dan judul buku yang dibaca / tema buku / sinopsis buku.
  • Borang Rekod Bacaan.
  • Pelajar merekodkan bacaan masing-masing di bawah pengawasan guru, terutamanya semasa waktu matapelajaran bahasa. Guru berkenaan kemudiannya menyemak dan mengesahkan rekod bacaan pelajar berkenaan.
  • Pengiktirafan Tokoh Membaca

Data rekod bacaan setiap sekolah dikumpul di Pusat Sumber Negeri untuk dinilai di peringkat kebangsaan. Tokoh Membaca dipilih dari kalangan pelajar yang mempunyai rekod bacaan tertinggi dan diberikan Anugerah NILAM.

TAHAP PELAKSANAAN DAN PENCAPAIAN NILAM

Pelaksanaan Program NILAM ini dibahagikan kepada dua tahap:

  1. Tahap Jauhari
  2. Rakan Pembaca

PROGRAM BACAAN NILAM #1

‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membina tabiat membaca di kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.

  1. Merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah.
  2. Merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun.
  3. Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di Sekolah Rendah dan Tingkatan Satu dan Peralihan di Sekolah Menengah pada 1999.